SELAMAT DATANG


Terima kasih kerana sudi menjengah blog ini. Semoga anda akan memperoleh sesuatu daripada blog ini. Sebarang cadangan dan komen boleh dihantar kepada psssktp@gmail.com.


SKTP

Suka Kerja Tekun Pantas

Monday, November 29, 2010

sUKARNYA MEMBENTUK BUDAYA MEMBACA

Minda: Sukarnya bentuk budaya membaca


E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

LAZIMNYA, apabila cuti sekolah bermula, murid atau pelajar akan tutup buku kerana mahu bercuti. Mereka mahu merehatkan otak dan tidak mahu membebankan kepala dengan bahan bacaan. Bagi yang baru melalui peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), mereka juga mahu bebas daripada buku.

Begitu juga dengan pelajar yang sedang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan berhenti membaca selepas tamat peperiksaan. Kebanyakan mereka menghabiskan masa dengan aktiviti lain yang bebas daripada bahan bacaan. Ekoran tidak mementingkan tabiat membaca semasa cuti persekolahan, beberapa majalah akademik mengalami kemerosotan jualannya. Contohnya, ada majalah yang tidak dikeluarkan pada Disember kerana pelajar tidak lagi melanggannya. Jika ada majalah diterbitkan, ia berlonggok di pasaran kerana kurang pembeli. Akhbar yang mempunyai sisipan panduan peperiksaan turut terjejas jualan kerana pelajar dan sekolah tidak melanggannya sepanjang cuti persekolahan. Ini membuktikan bahawa di negara ini membaca bertujuan untuk lulus peperiksaan semata-mata. Statistik menunjukkan kita antara negara yang rakyatnya kurang membaca. Jika hendak dibandingkan dengan negara lain seperti Jepun dan China, kita masih jauh ketinggalan.


Kecenderungan pelajar pada cuti sekolah adalah menghabiskan masa menonton televisyen, melayari Internet dan melakukan aktiviti tidak berfaedah di luar rumah, menjadikan proses pembelajaran terbantut. Kita menggalakkan pelajar menjadikan membaca sebagai satu tabiat atau amalan murni demi membuka minda ke arah insan cemerlang.

Oleh itu, jika membaca tidak dijadikan amalan atau membaca hanyalah bermusim, yang ruginya generasi akan datang. Mereka akan ketinggalan dalam serba hal termasuk memantapkan ilmu pengetahuan yang boleh dibawa ke sekolah kelak jika mereka masih di alam persekolahan.


Sikap sesetengah pelajar yang hanya membaca buku teks tidak akan membawa mereka ke mana-mana. Mereka sepatutnya menambah ilmu dengan membaca akhbar dan majalah akademik. Kurangnya membaca di kalangan rakyat Malaysia terbukti apabila jumlah buku yang diterbitkan tidak sampai 15,000 setahun. Meskipun sudah beberapa tahun kita berhasrat mahu mencapai jumlah penerbitan buku 26,000 setahun, kita tahu sampai bilapun harapan ini tidak akan terlaksana.


Jika kita menaiki pengangkutan awam seperti Transit Aliran Ringan (LRT), boleh dikira dengan jari mereka yang membaca buku atau akhbar. Ini berbeza dengan rakyat Jepun yang tidak suka membazirkan masa ketika menaiki kenderaan awam. Di tangan mereka ada saja bahan untuk dibaca sama ada buku, majalah atau akhbar.

Di kedai buku di negara matahari terbit itu, penuh sesak dengan orang ramai membeli bahan bacaan berbanding di negara kita yang suasananya lengang kerana kekurangan pelanggan.


Sudah sampai masanya kita menjadikan buku sebagai teman hidup. Jika pelajar membaca hanya untuk lulus peperiksaan bermakna tabiat membaca dihentikan setelah mereka meninggalkan alam persekolahan. Di sini peranan boleh dimainkan ibu bapa untuk memberi kesedaran mengenai pentingnya membaca di kalangan anak mereka. Pada musim cuti sekolah, ibu bapa mestilah memantau anak mereka supaya anak tidak jauh daripada bahan bacaan.

Di samping memberi nasihat, secara simboliknya ibu bapa mestilah membeli bahan bacaan sesuai untuk anak mereka. Ibu bapa juga mestilah meneruskan amalan memberi peruntukan kepada anak untuk membeli bahan bacaan.


Ibu bapa mestilah menjinakkan anak mereka dengan perpustakaan pada musim cuti sekolah. Di samping membawa anak ke tempat peranginan, soal pembacaan juga tidak boleh dipandang ringan. Jadikan bahan bacaan wajib dibawa ketika bercuti. Sikap ibu bapa yang mahu menjimatkan wang dengan menyekat pembelian bahan bacaan dengan alasan cuti sekolah tidak wajar diamalkan kerana ia boleh membantutkan perkembangan minda anak.


Malangnya, ada sesetengah ibu bapa yang lebih mementingkan perkara lain daripada menyemai minat anak membaca. Mereka sanggup memenuhkan rumah dengan perabot mahal, membalut tubuh dengan pakaian berjenama dan membeli kenderaan baru sehingga mengabaikan bahan bacaan yang boleh menjana masa depan anak mereka.


Bagi yang memahami faedah atau manfaat membaca, membaca itu sepanjang hayat. Seperti juga menuntut ilmu yang tidak ada had umur dan situasinya.


Memetik kata-kata daripada buku Melayu Baru tulisan Muhammad Muhammad Taib, bangsa yang maju di dunia ialah bangsa yang banyak membaca sehingga mereka boleh menguasai dunia dengan pelbagai bentuk ciptaan, penemuan baru dan idea. Negara maju di dunia juga bertolak daripada kadar pembacaan yang tinggi di kalangan rakyatnya. Jadi untuk mencapai tahap negara maju, remaja mestilah menjadikan membaca sebagai satu amalan, bukannya membaca untuk lulus peperiksaan atau apabila disuruh membaca.


Pelbagai kempen mengenai pentingnya membaca seperti Membaca Jambatan Ilmu, Ilmu Itu Pelita Hidup dan Jadikan Buku Teman Setia Anda tidak semestinya dipandang remeh pelajar.

No comments:

Post a Comment